Sampai hati Yaya diperlakukan seteruk ini, kata Sana Abd Malek, 28, ibu kepada kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang cedera dipercayai didera ibu tirinya.
Sana berkata, dia terkejut apabila pertama kali melihat keadaan anaknya kelihatan cekung dan dalam keadaan kesakitan.
Katanya, kali terakhir dia bertemu anaknya, pada Ramadan tahun lalu, selepas bekas suaminya tidak membenarkan dia bertemu mangsa.
"Luluh hati saya melihat kesan parut di belakang badan dan luka di kepala. Doktor maklumkan anak saya turut patah tulang belakang,� katanya ketika ditemui wad kanak-kanak di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim berkata, kejadian disedari apabila ibu kandungnya yang pergi mengambil kanak-kanak itu di Rantau Panjang, Rabu lalu.
Difahamkan, mak tiri menghubungi ibu kanak-kanak itu memintanya mengambil Yaya kerana mereka sibuk bekerja.
Haliluddin berkata, ibu kanak-kanak berkenaan membuat laporan polis di balai polis berdekatan.
"Mangsa pada mulanya dibawa ke Hospital Golok, Thailand, sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya. HM Credit Sheilakhan