Sembuh Demam Panas Tanpa Ubat – Petua #2 Ramai Ibu Bapa Buat Silap


Semasa anak berada pada fasa baru beberapa tahun selepas dilahirkan, sangat mudah untuk mereka dijangkiti demam. Kerana pada usia ini, penghasilan antibodi baru sahaja bermula maka sistem imunisasinya masih boleh dikatakan LEMAH. Bukan sahaja demam, malah bermacam-macam penyakit lain dengan senangnya dapat menceroboh masuk ke dalam badan mereka.
Jadi pentingnya peranan ibu bapa dalam memastikan anak-anak tidak terdedah kepada persekitaran tempat kuman membiak. Jari-jemarinya, tapak kakinya, pastikan ia sentiasa bersih. Namun kadang-kadang kesihatan anak masih akan terganggu seperti menghidap demam panas. Apa yang boleh anda lakukan? Apa petua yang boleh diamalkan untuk meredakan demam panas?

1. SENTIASA PANTAU SUHU BADAN

Setiap isi rumah sepatutnya mempunyai satu thermometer untuk menyukat suhu badan jika anggota keluarga disyaki tidak sihat. 36.7 darjah selsius merupakan suhu badan normal. Sebaik sahaja apabila diukur dan didapati suhu anak mencapai 38 darjah selsius ke atas, sah demam panas!
Sentiasa pantau suhu badan dari semasa ke semasa sebagai langkah berjaga-jaga.

2. JANGAN TUAM GUNA AIS ATAU AIR SEJUK



Kesilapan yang sering dilakukan oleh majoriti ibu bapa adalah tuam anak dengan air sejuk atau ais. Mungkin secara logiknya anda berfikir ia akan mempercepatkan lagi penurunan suhu badan berkali-kali ganda kerana ia lebih sejuk daripada air suam. Hakikatnya, anda salah dari segi ini!
Ais atau air sejuk akan menutup liang-liang roma pada kulit, dengan ini menyebabkan haba terperangkap di dalam badan. Air suam pula melakukan sebaliknya.
Guna air suam atau tuala yang dibasahkan dengan air suam. Itu yang terbaik. Diharapkan peringatan ini terpahat di minda anda.

3. PENGAMBILAN AIR DAN SUSU YANG SECUKUPNYA



Badan panas akan menyebabkan kandungan air di dalam badan kita menurun secara mendadak. Air komponen yang sangat penting bagi tubuh badan kita. Bagaimana mahu sembuh dari demam sekiranya benda yang penting ini tidak ada atau kurang?
Jika diabaikan, penyakit lain pula yang bakal menjengah. Contoh adalah seperti buah pinggang rosak, sawan dan brain malfunction. Pasti anda tidak mahu melihat anak lebih menderita.
Justeru berilah air atau susu yang secukupnya. Jika ada air zam-zam, lebih baik! Ia ada adalah penawar yang universal.

4. DAUN BUNGA RAYA

Ini petua orang tua-tua. Keberkesannya juga telah disahkan. Ramai telah mengamalkannya untuk meredakan demam panas si anak.
Cara penyediaan:
1. Petik beberapa helai daun buang raya
2. Basuh supaya bersih dari habuk kotoran
3. Biarkan ia dalam air selama setengah jam
4. Potong daun kepada bahagian-bahagian kecil
5. Tapis menggunakan penapis untuk mendapatkan lendir daun bunga raya ini
6. Basahkan tuala bersama lendir ini dan tuam anak anda
Ingat, kita mahukan daun sahaja. Bukan bunganya!

5. BERI KATA SEMANGAT DAN DOA

Segala ikhtiar telah dilakukan. Sekarang apa yang penting adalah anda sentiasa berada di samping anak. Walaupun mereka tidak menyatakannya secara lisan, namun mereka sangat memerlukan anda di saat-saat ini. Naikkan semangat dengan menunjukkan wajah ceria dan dorongan yang tidak berbelah bagi.
Jangan dilupakan kuasa doa. Doa merupakan senjata utama kita sebagai seorang Islam. Allah yang menurunkan sakit, dan Allah juga yang berkuasa menarik kembali sakit demam panasnya.
Sudah sekian lama tetapi masih tidak turun suhu badannya, maka anda tahu apa yang harus dilakukan – bawa jumpa doktor segera! OhsemMama mendoakan semoga anak anda cepat sembuh :)
Kredit: OhsemMama