Greece Kehabisan Wang Tunai, Malaysia Tiada Sebarang Kesan - Najib

Greece Kehabisan Wang Tunai, Malaysia Tiada Sebarang Kesan - Najib
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau akan memantau perkembangan di Greece dalam tempoh sehari dua ini.

"Kita akan melihat kesan global tetapi saya mahu melihat perkembangan dalam tempoh sehari dua ini. Faktor utama Greece kekal sama ada ia sebahagian dari zon Eropah atau mereka akan menarik diri darinya. Kita (Malaysia) perlu melihat perkembangan ini.

"Kita juga perlu memantau dan melihat sentimen global dan bagaimana ia memberi kesan," katanya semasa mengulas mengenai sama ada keruntuhan kewangan Greece akan memberi kesan kepada Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Kewangan Nasional di sini, hari ini.

Greece menutup operasi banknya dan mengenakan kawalan modal bagi mengelak kegawatan kewangan selepas kegagalan rundingan dengan pemiutang antarabangsanya.

Negara itu perlu membayar hutang berjumlah 1.6 bilion euro kepada Tabung Kewangan Antarabangsa dalam tempoh 48 jam dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan Greece keluar dari zon Euro.- BERNAMA