Bayi Alami Pendarahan Otak, Mata Angkara DiDera Pengasuh

Bayi Alami Pendarahan Otak, Mata Angkara DiDera Pengasuh | Seorang bayi perempuan berusia empat bulan mengalami pendarahan pada otak dan mata dipercayai didera pengasuh pada Rabu lepas di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak.

Bayi Alami Pendarahan Otak, Mata Angkara DiDera Pengasuh

Putri Wafa Mohd Saifudin yang baru sahaja empat hari ditempatkan di pusat jagaan itu dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani oleh pemilik pusat penjagaan selepas bayi tersebut mengalami sawan dan tidak sedarkan diri.

Bapanya Saifudin Seman, 26, berkata, menerima panggilan daripada pusat penjagaan tersebut kira-kira 2.45 petang (Rabu) yang menyatakan anak perempuannya itu mengalami sawan.

Anggota tentera dari Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani itu berkata anak tunggalnya itu yang dikatakan kritikal dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada 8 malam pada hari kejadian.

"Doktor pakar beritahu anak saya mengalami pendarahan pada otak dan mata dipercayai akibat digoncang dengan kuat atau terjatuh," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Saifudin berkata, pakar perubatan mengesyorkannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu disebabkan terdapat unsur penderaan sehingga menyebabkan berlaku pendarahan yang serius pada otak dan mata.

Katanya sebelum ini dia dan isteri Wan Nur Syafiah Wan Zain, 25, pelik melihat perubahan anaknya itu yang tidak aktif seperti sebelum ini sejak hari pertama ditempatkan di pusat jagaan itu.

"Kami ingat dia (bayi) mengalami perubahan itu disebabkan baru sehari berenggang dengan ibu bapa dan ia berterusan pada hari kedua dan ketiga. Pada hari kejadian anak kami berada dalam keadaan sihat," katanya.

Dia yang tinggal di Bandar Perdana, Sungai Petani berkata, pakar perubatan memaklumkan anaknya itu mengalami sawan setiap tiga minit sekali.

"Kami menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pemilik pusat penjagaan itu," katanya yang turut membuat laporan polis semalam.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Khalil Ariffin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Kanak-kanak 2001. - Bernama

sumber
http://ift.tt/1IVbMPv